Apr 152014
 

Dunia hari ni makin pelik. Hari ini je dah terbaca 2 berita kes cerai kerana sebab-sebab yang pelik. Semoga menjadi pengajaran buat kita semua.

berita cerai kerana sebab pelik

Kes pertama diceraikan kerana si suami sakit selepas si isteri menyapu ubat pada mata. 

Kuala Lumpur: “Saya sendiri terkedu diceraikan talak tiga sekali gus hanya kerana dia (bekas suami) sakit mata,” kata seorang ibu tunggal yang hanya mahu dikenali sebagai Nora ketika menceritakan rumah tangganya musnah berpunca daripada sebab yang tidak masuk akal.

Nora, 27, berkata, dalam kejadian pada 2006 itu, bekas suaminya mengalami sakit mata lalu meminta pertolongannya menyapu ubat diambil di sebuah klinik.

“Dia menyuruh saya menggunakan putik kapas untuk menyapu ubat mata. Pada mulanya saya teragak-agak, tetapi tetap patuh.

“Tiba-tiba dia menjerit sakit dan kami bertengkar sebelum dia melafazkan cerai talak tiga sekali gus,” katanya yang ditemui semalam.

Sebaik cerai dilafazkan, kata Nora, dia yang tinggal di rumah lelaki itu di Kedah segera membawa dua anaknya yang masih kecil ketika itu ke rumah ibu bapa di Perak.

Berita via MyMetro

Kes kedua adalah kes hampir diceraikan kerana si isteri banyak main game kat henfon.

BESUT – “Dulu saya sering lewat masak, anak-anak balik sekolah kelaparan.. suami hampir melafazkan talak kerana tidak tahan dengan sikap buruk saya suka sangat main game.”

Demikian cerita seorang suri rumah yang hanya mahu dikenal sebagai Zanahariah, 37.

Kata Zanahariah, pada mulanya dia hanya bermain game untuk menghilangkan rasa bosan selepas selesai melakukan kerja rumah.

“Saya mula bermain game apabila melihat salah seorang anak saya berbuat demikian dengan iPhone.

“Kemudahan permainan video ini boleh dicapai secara dalam talian menerusi iPhone memaksa pemain bermain secara berterusan untuk elak kalah atau membuat pembelian aplikasi tambahan,” katanya.

Zanahariah berkata, anak sulungnya yang berusia 15 tahun banyak membantu dia memuat naik permainan baharu menerusi telefon pintar.

Namun katanya, lama kelamaan masa untuk dia bermain game makin bertambah dan bagaikan penagih yang tidak mahu berenggang dengan gajet.

“Saya boleh menghabiskan masa tiga hingga empat jam dengan bermain game setiap hari,” katanya.

Sejak itu, rumah tangganya mula tidak terurus, dia sering lewat memasak untuk keluarga, tanggungjawabnya pada suami dan tiga anaknya turut diabaikan.

Katanya, anak-anak yang pulang dari sekolah sering merungut kelaparan kerana tidak ada lagi makanan terhidang di atas meja, begitu juga apabila suami pulang dari kerja kerana masanya banyak dihabiskan bermain game.

“Tabiat buruk ini menyebabkan saya dan suami sering bergaduh dan kami hampir bercerai,” katanya.

Zanahariah berkata, dia sering menyalahkan suami yang jarang membawanya dan anak bersiar-siar menyebabkan dia ketagih bermain game.

Dia akan menghabiskan masa dari petang hingga ke malam untuk bermain game sehinggakan dia juga jarang keluar rumah.

Namun mungkin jodoh masih panjang dengan campur tangan keluarga akhirnya masalah mereka dapat diselesaikan.

Kini Zanahariah mengakui sudah kurang berminat  bermain game dan hanya melayari internet pada masa tertentu sahaja.

Dia tidak mahu lagi melakukan kesilapan sama sehingga rumah tangga dan masa depan anaknya menjadi taruhan.

Berita via Sinar Harian

Bonus: Ni pulak kes si isteri banyak main game kat iPad sampaikan bulan madu pun dengan iPad. Adeh..

“DISEBABKAN rasa sayang, saya masih lagi bersabar dengan kerenah isteri yang suka main online game,” kata seorang suami mengenai sikap isterinya.

Kakitangan swasta, Amin Budi (bukan nama sebenar), 30, berkata, dia menyedari sikap buruk isterinya selepas bulan madu pertama mereka apabila Dina, 27, tidak pernah berenggang dengan iPad yang merupakan salah satu barang hantaran perkahwinan yang dihadiahkannya dua tahun lalu.

Pada awalnya Amin berkata, isterinya yang juga seorang suri rumah sepenuh masa tidak menunjukkan ketagihan kerana tetap melayannya dengan baik, namun apabila menjelang setengah tahun perkahwinan, sikap isterinya itu kian menjadi-jadi.

“Isteri saya kadang kala tak beri respons ketika saya bercakap jika ketika itu dia sedang menghadap iPadnya, dan sanggup tidur lewat malam menyebabkan dia kadang-kadang tak melakukan kerja rumah, tetapi menghabiskan masa dengan tidur sahaja di siang hari sebab tak cukup tidur pada waktu malam.

“Apabila saya pulang ke rumah dalam keadaan bersepah, ini menyebabkan stress semakin bertambah. Tak cukup di tempat kerja, di rumah pula keadaan tunggang-langgang,” katanya.
Jelasnya, isterinya suka bermain game ‘Candy Rrush’ dan game lain melalui Facebook seperti ‘Restoran City’ dan sebagainya.

Apabila ditegur, isterinya memberitahu ia sekadar untuk mengisi masa terluang sedangkan ketika itu dia berada di rumah.

Lebih malang katanya, isterinya pernah keguguran Januari tahun lalu dan dia menganggap perkara itu berlaku disebabkan sikap isterinya yang suka bermain permainan online sehingga tidak menjaga pemakanan dan waktu tidur yang baik.

‘Uninstall’ semua permainan

Mengulas lanjut, Amin bagaimanapun tidak menyalahkan isterinya 100 peratus. Dia menganggap isterinya hanya mahu melepaskan tekanan akibat kesunyian di rumah kerana sentiasa ditinggalkan keseorangan.

Amin juga mengakui kadang kala terpaksa meninggalkan isterinya untuk beberapa hari kerana terpaksa keluar daerah atas urusan kerja. Tidak menolak keadaan itu juga turut menjadi penyebab hubungan mereka renggang, Amin kemudian tekad berbincang secara serius dengan isterinya.

Amin bagaimanapun bersyukur kerana keadaan itu membuka ruang yang lebih baik dalam perkahwinan mereka apabila keterbukaan kedua-duanya dalam menyuarakan isi hati masing-masing telah menyebabkan mereka cuba memperbaiki kelemahan yang ada.

“Sekarang ini, isteri saya juga sudah berubah selepas keguguran tahun lalu dan dia juga telah ‘uninstall’ semua permainan yang menjadi ketagihannya sebelum ini,” katanya.

Suami perlu bijak selesai masalah

Dalam masa sama, Amin menasihati mana-mana suami yang menghadapi masalah sama agar bersabar dan berbincang dengan isteri.

“Janganlah kerana online game, berlaku keretakan rumah tangga. Kalau kita ikhlas, ALLAH sudah tentu buka pintu hati isteri untuk terima nasihat kita. Masing-masing ada kelemahan, mungkin ia juga berpunca dari sikap kita, tetapi itulah cabaran perkahwinan,” katanya.

Sementara itu, Munir Ahmad, 32, memberitahu ketagihan terhadap permainan online menyebabkan hubungan sepupu dan suaminya menjadi renggang.

Kata Munir, sepupunya, Suriati, pernah memberitahu walaupun ketika Ramadan, suaminya lebih suka bermain game berbanding solat Tarawih dan kadang-kadang tidur pada jam 4 pagi kerana asyik bermain game.

Begitu juga dari urusan penjagaan anak-anak, jika salah satu dari dua anaknya jatuh sakit, Suriatilah yang menguruskan segalanya kerana suaminya lebih suka menghabiskan masa dengan permainan online.

“Walaupun ia tidaklah menyebabkan hubungan mereka sampai hendak bercerai tetapi melalui ceritanya, suaminya mengabaikan urusan penjagaan anak-anak sehinggakan semua dia yang perlu selesaikan walaupun dari segi nafkah, suaminya tak pernah ‘miss’.

“Apa yang membimbangkannya, anak sulung Suriati juga mengikut perangai ayahnya. Bangun sahaja tidur, dia akan menuju ke komputer untuk bermain game ‘Angry Bird’,” katanya

Berita via Sinar Harian

Like seriously? Only in Malaysia..

LIHAT JUGA:  (Panas) Najis Dalam Peti Ais - Restoran Nasi Ganja Disita?

Apa-apa pun ambillah pengajaran. Kahwin ni bukan perkara main-main. Kena terima dia seadanya sampai akhir hayat. Kalau sorang merajuk, sorang lagi kenalah memujuk. Masing-masing kena tolak ansur. Jangan nak menang je selalu.

(Visited 169 times, 1 visits today)

LIKE KAMI DI FACEBOOK