Jul 312012
 

Mesti ramai umat Islam yang sibuk bersiap nak berbuka puasa petang ni.

 

adab berbuka puasa mengikut sunnah nabi

 

Tapi adakah kita mengikut Adab Berbuka Puasa Menurut Sunnah Nabi? Jom baca artikel di bawah: 

 

1. Membaca doa

Ibn ‘Umar r.a berkata: “Apabila berbuka puasa, Nabi SAW akan membaca doa yang bermaksud : Hilanglah segala kehausan, segala urat-urat telah basah dan semoga tetaplah beroleh pahala.

 

Abdullah Ibn ‘Umar r.a berkata: “Apabila berbuka puasa bacalah: Ya Allah! sesungguhnya aku memohon rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu agar Engkau mengampunkan aku.

 

Di samping doa di atas dan doa berbuka puasa, kita juga boleh berdoa apa sahaja yang dihajati kerana di antara waktu yang mustajab (makbul) untuk berdoa adalah ketika berbuka puasa. Sabda Rasulullah SAW :

 

“Sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka.” – Hadis riwayat Ibn Majah

 

2. Menyegerakan Berbuka Puasa.

Disunnahkan juga kita menyegerakan berbuka puasa. Waktu paling afdal ialah ketika matahari mula terbenam atau dilaungkan azan Maghrib. Utamakan berbuka dari sibuk berzikir, membaca al-Quran atau ibadah lain kerana perintah Nabi s.a.w. Rasulullah SAW bersabda:

 

“Manusia akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka sentiasa menyegerakan berbuka puasa.” – Hadis riwayat al-Bukhari

 

Di dalam sebuah hadis qudsi, Allah SWT telah berfirman maksudnya :

“Sebaik-baik hamba-ku menurut pandangan-Ku ialah orang yang menyegerakan berbuka puasa.” – Hadis riwayat al-Tirmizi

 

3. Berbuka Puasa Dengan Buah Rutab, Tamar Atau Air.

Rutab adalah buah kurma yang masak dan tidak dikeringkan. Ia lembut dan manis. Tamar pula adalah buah kurma yang telah dikeringkan sebagaimana yang banyak terjual di pasaran. Berbuka puasa dengan buah rutab, tamar atau air merupakan sunnah Nabi SAW Anas bin Malik r.a berkata:

 

“Rasulullah s.a.w berbuka puasa sebelum solat (Maghrib) dengan rutab. Jika tiada rutab, baginda akan berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, baginda akan meneguk beberapa teguk air.” – Hadis riwayat Imam al-Tirmizi

 

4. Bersegera Mengerjakan Solat Maghrib.

Hadis di atas tidak menafikan bahawa Rasulullah s.a.w juga menyegerakan solat Maghrib setelah berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air. Namun, sekiranya makanan malam telah terhidang disunnahkan menjamah makan malam terlebih dahulu walaupun solat telah didirikan.

 

Setelah selesai menikmati hidangan, bersegeralah mengerjakan solat Maghrib. Sabda Rasulullah SAW :

LIHAT JUGA:  (Jadual) Waktu Imsak & Buka Puasa Setiap Negeri 2012

 

“Apabila seseorang dihidangkan makan malam sedangkan solat (jemaah) telah didirikan, utamakan makan malam. Janganlah seseorang itu tergopoh-gapah menghabiskan makanan itu sehinggalah dia selesai dalam keadaan tenang.” – Hadis riwayat al-Bukhari

 

Menurut Imam al-Nawawi : “Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.”

 

5. Berbuka Puasa Secara Sederhana.

Firman Allah SWT :

“Wahai Bani Adam! Pakailah pakaian kamu yang indahsetiap kali kamu ingin ke tempat ibadat (mengerjakan solat) dan makan minumlah serta janganlah kamu melampau. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas.” – Surah al-A’raaf : Ayat 31

 

Perlu diingatkan bahawa janganlah waktu berbuka puasa dijadikan medan untuk kita melepas geram kerana sehari suntuk tidak menjamah makanan atau minuman. Sewajarnya, ibadah puasa dijadikan medan untuk melatih jiwa seorang muslim yang bertakwa lagi penyabar direalisasikan ketika berbuka puasa dengan memakan makanan pada kadar yang tidak berlebihan.

 

Sabda Nabi SAW :

“Anak adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberi kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak mustahail (boleh dilakukan), suaplah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.” – Hadis riwayat al-Tirmizi

 

6. Menjamu Makanan Untuk Berbuka Bagi Orang Berpuasa.

Sesungguhnya Islam menganjurkan umatnya mengadakan majlis berbuka puasa untuk menjamu makan bagi mereka yang berpuasa terutamanya kepada orang-orang miskin, anak-anak yatim dan mereka yang ditimpa musibah.

 

Firman Allah SWT :

“Mereka juga memberi makan sebarang makanan yang dihajati dan disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan tawanan (sambil berkata dengan lidah atau hati): Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu semata-mata kerana Allah dan kami langsung tidak inginkan sebarang balasan daripada kamu atau ucapan terima kasih.” (al-Insan: 8-9).

 

Menjamu makan untuk berbuka puasa telah dijanjikan dengan ganjaran pahala yang begitu besar. Semakin ramai jumlah orang yang dijamu makan, semakin tinggilah jumlah gandaan pahalanya.

 

Sabda baginda SAW :

“Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang yang berpuasa, iaitu pahala orang yang berpuasa yang tidak dikurangkan walau sedikit.” – Hadis riwayat al-Tirmizi.

 

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _

 

Semoga bermanfaat! (^_^)

(Visited 50 times, 1 visits today)

Comments

  1. shafiq says:

    Insya ALLAH..
    terima kasih..

  2. ebizon9 says:

    Terimakasih admin kerana kongsikan artikel 6 adap berbuka puasa mengikut sunnah nabi ini. Mungkin kita perlu membaca semula banyak perkara tentang puasa yang mana mungkin kita sudah terlupa agar kita dapat memelihara puasa dengan baik.

  3. phreak-id says:

    5-5 tu memang dah amalkan. Yang ke6 tu je masih belum nak boleh buat..

    Terbaru >Tahniah Datuk Lee Chong Wei ke Separuh Akhir Olimpik >Aiskrim Baskin-Robbins Percuma Seluruh Malaysia pada 8/8/2012 >[Projek Blogger ] 29 Hari Jelajah Bazar Ramadhan Seluruh Malaysia


LIKE KAMI DI FACEBOOK